by 'Ukhwah Islamiyah'
بسم الله الرØÙ…Ù† الرØÙŠÙ…
"DENGAN NAMA ALLAH SWT YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA
PENYAYANG"
Perkongsian Bersama Untuk Anda & Diri Saya:
“Katakanlah (Wahai Muhmmad): Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah,
ikutilah aku (Rasulullah s.a.w.), niscaya Allah mengasihi dan mengampuni
dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah Ali 'Imraan, 3:31)
Hari Jumaat sebagai penghulu segala hari adalah bukti kasih sayang Allah
kepada hamba-hambaNya. Inilah hari yang terkumpul di dalamnya sekian banyak
fadhilat dan kelebihan seperti yang dinukilkan dalam dalil al-Quran dan
al-Sunnah. Adalah wajar kaum muslimin merebut peluang keemasan ini untuk
meningkatkan kualiti amalan mereka menurut petunjuk Nabi Muhammad
shallallahu’alaihi wasallam.
Rasulullah sebagai penerima wahyu telah mengajarkan kepada kita beberapa
amalan sunnah yang wajar dilakukan pada hari Jumaat. Namun mungkin akibat
keterlekaan dan kealpaan kita membuat kita terlupa untuk melazimi sunnah-sunnah
tersebut. Oleh itu, di sini kita cuba menyenaraikan kembali sunnah-sunnah yang
semakin luput dan dilupakan beserta dalil sebagai panduan bersama.
1.Mandi, membersihkan diri, bersugi, dan memakai wangian, dan
mengenakan pakaian yang terbaik.
Ini berdasarkan hadith yang disampaikan oleh Salman al-Farisi radhiallahu’anh
daripada Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam, baginda bersabda:
“Tidak mandi seorang lelaki pada hari Jumaat dan membersihkan dirinya setakat
yang termampu, seterusnya beliau meminyakkan rambut, mengenakan wangi-wangian
harum yang dimilikinya di rumah, lantas dia keluar (ke masjid) dan dia tidak
mencelah di antara dua orang (di dalam masjid), lalu dia bersolat apa yang
diwajibkan atasnya. Dan sesudah itu duduk diam sewaktu imam sedang berkhutbah,
melainkan diampunkan segala dosanya dari Jumaat tersebut hinggalah ke Jumaat
yang akan datang ”. [Riwayat al-Bukhari]
2.Bersegera ke masjid dan tinggalkan urusan lain.
Firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Jumu’ah ayat 9,“Wahai orang-orang Yang
beriman! apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat,
maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan
sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian
adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)"
3.Membaca Surah al-Kahfi BUKAN Surah Yaasin pada malam atau siang
hari Jumaat.
Membaca Surah Yaasin adalah sesuatu yang mulia dilakukan oleh setiap muslim,
sepertimana mambaca surah-surah al-Quran yang lainnya. Namun, untuk
mengkhususkannya pada waktu tertentu seperti pada malam Jumaat adalah suatu yang
tidak dijumpai dalam mana-mana dalil sahih malah bercanggahan dengan petunjuk
Baginda nabi. Sedangkan setiap ibadah adalah terhenti (tidak dilakukan)
sehinggalah dijumpai dalil atau nas yang menunjukkan pensyariatannya.Oleh itu,
saya dengan segala rendah diri mengajak kalian semua untuk meninggalkan amalan
yang bercanggahan dengan sunnah Baginda ini.
Adapun pada malam Jumaat, Rasulullah telah mengajarkan kita untuk membaca
keseluruhan surah al-Kahfi sebagaimana sabdanya:“Sesiapa yang membaca surah
al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya akan diterangkannya dengan satu cahaya di
antara dua Jumaat”. [Riwayat al-Nasaei, al-Baihaqi, dan al-Hakim]
4.Menuju ke masjid dengan berjalan kaki, bukan
berkenderaan.
“Sesiapa yang mandi dan membersihkan diri pada hari Jumaat dan bersegera
(keluar menuju ke masjid) dengan mencari posisi paling hampir dengan imam dalam
keadaan diam, maka setiap jejak langkahnya itu pahala seumpama puasa setahun
pada siangnya dan mendirikan ibadah pada sebelah malamnya. Hal demikian itu bagi
Allah adalah sangat mudah”. [Riwayat Imam Ahmad, al-Thabarani, dan Ashab
al-Sunan. Disahihkan oleh Ibn Khuzaimah]
5.Mendirikan solat sunat MUTLAK.
Solat sunat Mutlak bukanlah satu yang popular di kalangan umat Islam di
Malaysia, lantaran mereka sudah terbiasa dengan solat sunat Qabliyah Jumaat. Hal
ini agak menghairankan kerana Imam Syafi’I rahimahullah sendiri telah
membincangkan pensyariatan solat sunat Mutlak dalam karyanya yang agung, kitab
al-Umm.Berkenaan solat sunat Mutlak ini, Syeikh Nasiruddin al-Albani
rahimahullah berkata:“Dianjurkan bagi orang yang masuk masjid pada hari Jumaat
(bila saja) untuk mengerjakan solat sunat Mutlak sebelum duduk tanpa terikat
dengan bilangan (rakaat), juga tidak ditentukan waktunya, hingga imam keluar.
Atau duduk ketika masuk masjid setelah Tahiyyatul Masjid atau sebelumnya”.
[Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, al-Awjiba an-Naafi’ah ‘an As’ilati
Lajnah Masjid al-Jaami’ah, dinukil daripada buku Panduan Solat Sunat Cara Nabi
oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus, mukasurat 105]
Berkenaan riwayat yang menunjukkan adanya solat sunat qabliyah Jumaat,
-wallahua’lam- tiada satu pun daripada riwayat-riwayat tersebut yang dapat
dijadikan hujah lantaran kelemahan dan kecacatan yang berbeza-berbeza. Berkata
al-Hafiz al-‘Iraqi:“Tidak ada diriwayatkan dari Nabi Shallahu’alaihi wasallam
bahawa baginda solat sebelum Jumaat (Qabliyah Jumaat – penulis), kerana beliau
biasa keluar rumah menuju solat Jumaat, lalu datang muadzin azan di hadapan
beliau, kemudian beliau terus berkhutbah” [ Nailul Authar 3/216]. Dinukil dari
kitab Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, al-Awjiba an-Naafi’ah ‘an As’ilati
Lajnah Masjid al-Jaami’ah. Edisi terjemahan dalam bahasa Indonesia bertajuk
"Jawaban Penting Pertanyaan Seputar Solat Jumaat" oleh Abu Umar Basyir
al-Maidani, al-Qowam, mukasurat 51]
6.Memendekkan khutbah dan memanjangkan solat.
Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Ammar
radhiallahu’anh,“Sesungguhnya lamanya berdiri solat seorang lelaki dan pendeknya
khutbah yang dibacanya adalah petanda kemahiran ilmu fiqhnya (mendalam
pengetahuan agamanya). Maka hendaklah kamu memanjang solat dan memendekkan
bacaan khutbah!” [ Riwayat Muslim]
7.Tidak mengangkat tangan berdoa di antara dua khutbah dan ketika
imam berkhutbah.
Sedia maklum bahawa perbuatan menadah tangan adalah suatu yang disunnahkan
tatkala berdoa. Namun, menadah tangan dalam khutbah Jumaat bukanlah suatu
sunnah, malah ia bercanggahan pula dengan sunnah Baginda. Ini berdasarkan sebuah
hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Abu Daud:“Daripada 'Umarah ibn
Ru'aibah yang melihat Bishr ibn Marwaan ketika di atas mimbar mengangkat tangan
(Abu Daud menambah : apabila melakukan do'a pada hari Jumaat), dan berkata,
“Semoga Allah menjadikan hodoh kedua-dua tangan. Aku melihat Rasulullah
shallallahu’alaihi wasallam tidak menambah apa-apa melainkan seperti ini dengan
tangannya” dan mengisyaratkan dengan jari telunjuknya”.
8.Mendirikan solat sunat Ba’diyah Jumaat.
Para ulama’ telah bersepakat bahawa solat sunat ba’diyah Jumaat adalah
disyariatkan. Terdapat dua pilihan bagi mengerjakannya; iaitu samada dilakukan
dua rakaat atau empat rakaat dan kedua-duanya adalah sunnah. Ini berdasarkan
kepada hadith-hadith di bawah:
a) Daripada Abu Hurairah rahiallahu’anh, bahawa Rasulullah shallallahu’alaihi
wasallam bersabda:“Barangsiapa di antara kamu yang hendak bersolat, maka
hendaklah bersolat empat rakaat sesudah (solat) jumaat”. [Riwayat Imam
Muslim]
b) Daripada Ibnu ‘Umar radhiallahu’anhuma, dia berkata:“ Rasulullah
shallahu’alaihi wasallam bersolat dua rakaat sesudah (solat) Jumaat dua rakaat
di rumahnya”. [Riwayat Imam al-Nasaei]
9.Merebut peluang dan ruang yang dikatakan waktu mustajab doa pada
hari Jumaat.
Ini berdasarkan hadith Abu Hurairah radhiallahu’anh beliau berkata,
Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu
baginda bersabda:“Sesungguhnya pada hari Jumaat ada satu saat yang tidaklah
bertepatan seorang hamba muslim solat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah
melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan
sedikitnya waktu tersebut". (Shahih Al-Bukhari, kitab Da'awaat 7/166. Shahih
Muslim, kitab Jumuah 3/5-6)
Di dalam laman web beliau, Ustaz Zaharuddin telah memberi komentar tentang
hadith ini:“Waktu yang sesaat itu tidak boleh diketahui secara tepat dan
masing-masing riwayat menyebutkan waktu tersebut secara berbeza-beza,
sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari 11/203.
Dan kemungkinan besar waktu tersebut berada ketika saat imam atau khatib naik ke
mimbar sehingga selesai shalat Jum'at atau sehingga selesai waktu shalat ashar
bagi orang yang menunggu shalat maghrib”.
Demikian antara sunnah-sunnah pada hari Jumaat sepertimana yang diajarkan
oleh Baginda Nabi Muhammad al-Musthofa shallallahu’alaihi wasallam kepada kita
yang semakin dilupakan dan kurang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat.Oleh yang
demikian wahai sekalian muslim yang budiman, mari koreksi diri kita sejauh mana
kita dalam mengamalkan sunnah Baginda. Apakah kita layak menggelar diri kita
pengikut sunnah jikalau sunnah Jumaat pun sering diabaikan. Ingatlah, betapa
besarnya ganjaran buat mereka yang berpegang teguh kepada sunnah tatkala umat
lalai kepadanya.
Rasulullah SAW bersabda, "Kamu semua harus berpegang teguh kepada sunnahku
(setelah Al Qur'an) dan sunnah khulafa' rasyidin yang mendapat petunjuk Allah
sesudahku. Berpeganglah dengan sunnah itu dan peganglah ia kuat-kuat, serta
jauhilah perkara yang diada-adakan (dalam agama), karena setiap perkara yang
diada-adakan itu adalah bid'ah, dan setiap bid'ah itu sesat."
(HR. Abu Dawud dan Tirmidzi).
Semoga memberi manfaat kepada kita. Wallahu'alam.